Nov 12, 2022 - FASSelangor FC kini berada di Paroi bagi perlawanan kedua Suku Akhir kempen TM Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman pada jam 9 malam ini.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, pasukan harus meneruskan momentum mereka walaupun berkelebihan dua gol.
“Kita tahu bertandang di Stadium Paroi, ia merupakan satu kelebihan bagi mereka kerana beraksi di laman sendiri. Saya sentiasa ingatkan pemain yang kita tidak boleh ‘overconfident’ untuk perlawanan malam ini walaupun berbekalkan dua jaringan gol.
“Pemain-pemain perlu meneruskan momentum mereka dan perlu bijak untuk manfaatkan peluang yang ada malam ini,” tegas Tan Cheng Hoe.
Dari segi keberadaan pemain untuk perlawanan Piala Malaysia hari ini, pasukan Selangor FC masih belum dapat menurunkan Safuwan Baharudin yang masih dalam proses pemulihan akibat daripada kecederaan ‘mild traumatic brain injury’, manakala Halim Saari masih lagi dalam proses pemulihan penuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Selain itu, Harith Haiqal masih tidak dapat bersama pasukan atas faktor kecederaan di bahagian hamstring. Begitu juga Zahril Zabri kerana mengalami Meniscus baru-baru ini.
Selangor FC mendoakan kejayaan milik pasukan malam ini.
Bersamamu Setia Disini. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!